วันจันทร์ที่ 1 เมษายน พ.ศ. 2567

 Zaman Pemerintahan Raja-Raja Perempuan Patani


Berdasarkan undang-undang dan adat istiadat sistem pemerintahan beraja Melayu, apabila berlakunya kemangkatan seorang raja hendaklah digantikan dengan kerabat lelaki yang terdekat. Namun berbeza dengan kerajaan Patani. Perlantikan raja perempuan sebagai Sultan adalah disebabkan ketiadaan waris lelaki yang boleh diangkat menjadi Sultan. Hal ini kerana, waris yang tinggal adalah hanya waris perempuan. Walau bagaimanapun pemilihan seorang pengganti di dalam kalangan zuriat diraja adalah terpulang kepada keputusan para pembesar negeri.

Ketika dibawah pemerintahan raja perempuan, kerajaan Patani telah berjaya dipulihkan daripada terus merosot akibat berlakunya pembunuhan perebutan takhta. Pemerintahan raja perempuan ini dikatakan zaman kemuncak kegemilangan kerajaan Melayu Patani. Hal ini dapat dibukti apabila terdapat catatan Eropah yang mengatakan bahawa dibawah pemerintahan raja perempuan kerajaan Patani mengalami kemajuan yang luar biasa kerana adanya raja perempuan yang bijaksana dalam menjalankan pentadbiran. Ketika dibawah pemerintahan raja perempuan, negara Patani pada ketika itu muncul sebagai sebuah pusat perniagaan yang terpenting di rantau ini dan menjadi pusat pertumbuhan kebudayaan Melayu yang unggul di semenanjung. Berikut merupakan pemerintahan empat raja perempuan.


1. Zaman Raja Hijau (1584 M-1616 M)

Raja Hijau merupakan anak perempuan sulung Sultan Mansur Syah yang dilantik menjadi raja perempuan pertama bagi kerajaan Melayu Patani. Baginda merupakan seorang raja perempuan yang paling bijak dalam menguruskan pentadbiran negara. Ketika dibawah pentadbiran Raja Hijau, baginda banyak menjalankan aktiviti hubungan diplomatik dengan negara asing. Antaranya seperti negara Jepun, Britain, Protusgis, Belanda dan lain-lain. Kedatangan negara barat disambut dengan amat baik sekali oleh Raja Hijau sehingga membuatkan negara barat berasa amat dihormati. Hubungan diplomatik yang dilakukan oleh Raja Hijau adalah untuk memajukan sektor perdaganggan Patani. Semasa dibawah pemerintahan Raja Hijau, sektor perdaganggan Patani berkembang dengan pesat sehingga telah menjadikan negara Patani sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa.

Semasa pemerintahan Raja Hijau, baginda telah melicinkan struktur pentadbiran negeri. Raja Hijau telah melantik Wan Jaharullah untuk menjadi Bentara Kiri dan Along In menjadi Bentara Kanan manakala Wan Muhammad pula dikurniakan gelaran Seri Raja Kelang. Di samping itu juga, Raja Hijau turut melantik seorang pengembara Inggeris iaitu John Smith untuk menjadi pensihat baginda dalam menguruskan hal pentadbiran negara. Tujuan Raja Hijau melantik John Smith adalah untuk memahami adat orang barat. Hal ini kerana, Raja Hijau telah menjalankan dasar hubungan diplomatik dengan negara barat.

Selain memberikan tumpuan terhadap hubungan diplomatik, baginda juga turut berikan perhatian terhadap kebajikan rakyatnya. Raja Hijau juga telah berusaha untuk membangunkan sosioekonomi rakyatnya dengan membina Terusan Tambangan dan empangan. Terusan dan empangan ini dibina bagi mengalirkan air kepada kawasan pertanian yang seterusnya turut menjadi bekalan air bersih kepada rakyatnya. Tindakan baginda ini seterusnya telah berjaya meningkatkan taraf sosioekonomi rakyatnya. Kemajuan yang di nikmati oleh Patani dibawah pemerintahan Raja Hijau telah menyebabkan kerajaan yang berada disekeliling Patani mencuba untuk menguasai Patani.

Antara negara yang mencuba untuk menguasai Patani adalah kerajaan Siam. Kerajaan Siam telah mencuba menyerang Patani pada tahun 1603. Cubaan serangan tersebut dipelopori oleh Raja Siam Naresuan. Walau bagaimanapun tindakan cubaan Raja Siam Naresuan untuk menyerang Patani adalah gagal. Hal ini kerana, Raja Hijau berjaya mematahkan serangan Siam dengan mendapatkan bantuan pedangan asing yang menggunakan senjata api. Siam mengalami kekalahan yang teruk selepas cubaan menyerang Patani. Setelah itu, Siam telah mencuba untuk berbaik semula dengan kerajaan Patani demi untuk membeli senjata api di kawasan pelabuhan Patani.

Pemerintahan Raja Hijau selama 32 tahun telah membawa kerajaan Melayu Patani kepada puncak kegemilangan sehingga nama baginda amat terkenal dalam kalangan negara eropah kerana kebijaksanaanya dalam mentadbir. Sepanjang hayat Raja Hijau, beliau tidak pernah berkahwin dan dikenali sebagai Marhum Tambangan. Setelah baginda mangkat pada usia 63 tahun, jawatan sultan telah diambil alih oleh Raja Biru yang merupakan adindanya yang juga merupakan anak kedua kepada Sultan Mansur Syah.

2. Zaman Raja Biru (1616 M-1624 M)

Setelah kemangkatan Raja Hijau, Raja Biru telah ditabalkan menjadi sultan pada usianya yang ke 50 tahun. Semasa pemerintahan Raja Biru tidak terdapat banyak perubahan yang dilakukan oleh baginda. Hal ini kerana ketika baginda mengambil alih tampuk pemerintahan, keadaan negara pada ketika itu adalah dalam keadaan yang aman. Baginda hanya meneruskan sahaja segala dasar yang ditinggalkan oleh Raja Hijau. Semasa pemerintahan Raja Biru, baginda telah menjalankan hubungan diplomatic dengan kerajaan Kelantan. Ketika pemerintahan Raja Biru, terdapat berlakunya sikap permusuhan di antara saudagar-saudagar Eropah. Permusuhan ini berlaku adalah disebabkan Belanda yang ingin memonoppli perdagangan di seluruh Asia Timur. Belanda telah bertindak menyekat dan merosakkan urusan perniagaan bangsa-bangsa lain terutamanya orang Inggeris. Tindakan belanda yang rakus ini telah mengakibatkan wujudnya permusuhan dan berlakunya pertempuran antara Belanda dan Inggeris di kawasan bandar Patani. Hal ini telah menyebabkan berlakunya huru hara dalam Kerajaan Patani. Pada akhirnya Raja Biru telah bertindak masuk campur dalam pertempuran ini dengan memerintahkan para pegawainya memberikan perlindungan dan kawalan kepada orang-orang Inggeris dari dianiayai oleh Belanda.

Selain itu, terdapat juga masalah lain yang berlaku dalam pentadbiran Raja Biru terutamanya dari segi perdagangan. Ketika pemerintahan Raja Biru, terdapat para pedagang Eropah mula meninggalkan pelabuhan Patani dan menutup gudang-gudang mereka. Hal ini berlaku adalah kerana aktiviti perdagangan rempah telah kurang mendapat pasaran. Oleh hal yang demikian sehingga tahun 1623 tiada lagi saudagar daripada Eropah yang datang berdagang ke Patani. Hal ini secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya sedikit kemerosotan aktitviti perdangan Patani.

 

3. Raja Ungu (1624M-1635M)

Setelah kemangkatan Raja Biru, Raja Ungu telah ditabalkan menjadi sultan yang seterusnya. Raja Ungu merupakan bekas seorang permaisuri Sultan Abdul Ghafur Pahang. Dalam sistem pemeritahanya, baginda mengamalkan dasar polisi anti Siam. Dasar anti Siam ini dibuktikan melalui tindakan baginda dengan memutuskan hubungan diplomatik dengah kerajaan Ayuthia. Selain itu juga, Raja Ungu turut menolak gelaran kebesaran Siam iaitu gelaran Phrao-Chao/ Phra Nang Chao-Yang atau lebih dikenali sebagai Raja Nang Cayang yang diberikan oleh Siam kepada baginda. Baginda kemudianya mengelarkan diri Raja Patani Paduka Syah Alam. Di samping itu, baginda juga turut mengutuk Raja Siam sebagai penjahat, pembunuh dan juga pengkhianat. Baginda juga kemudian bertindak memutuskan tali pertunangan anakandanya Raja Kuning dengan Okaphya Deca. Tindakan baginda yang memusuhi Siam ini telah menyebabkan berlakunya siri perperangan yang besar antara Patani dengan Siam.

Semasa pemerintahan Raja Ungu, baginda telah melakukan banyak hubungan diplomatik dengan kerajaan Melayu yang lain. Oleh kerana baginda telah lama menetap di negara Pahang sebelum kembali pulang ke Patani telah membolehkan baginda mendekatkan Patani dengan kerajaan Melayu yang lain. Tujuan yang dilakukan oleh Raja Ungu ini adalah untuk melindungi kerajaan Patani daripada di serang musuh serta ingin memperkuatkan kedudukan negara Patani. Raja Ungu merupakan seorang raja yang bijak sama seperti dengan kekandanya Raja Hijau. Hal ini dapat dilihat apabila Raja Ungu telah bertindak mengambil kesempatan terhadap peperangan yang berlaku antara Aceh dengan Melaka. Baginda telah mengambil kesempatan ini dengan membuat perikatan dengan Johor dan Melaka bagi membendung ancaman Aceh. Selain itu juga, bagi memperkukuhkan hubungan dengan Johor, pada tahun 1632 Raja Ungu Patani telah mencadangkan pertubuhan pakatan pertahanan antara kerajaan Patani-Johor-Belanda-Kemboja-Jambi dan Inderagiri bagi menentang kuasa Portugis-Sepanyol yang semakin mengancam rantau ini. Namun demikian, pakatan ini tidak dapat berjalan dengan lancar. Walau bagaimanapun ketika kerajaan Siam menyerang Patani pada 12 Mei 1634 kerajaan Johor dan Pahang telah menghantar bantuan ketenteraan sebanyak 50 buah kapal perang dan 8000 orang tentera, manakala Portugis Melaka pula turut menghantar 6 buah kapal perang kepada Patani. Hal ini secara tidak langsung kerajaan Patani dapat mengalahkan serangan daripada kerajaan Siam.

Bagi mengeratkan hubungan antara Johor dan Patani, Raja Ungu telah mengahwinkan anakandanya iaitu Raja Kuning dengan Yang Dipertuan Muda Johor. Perkahwinan ini merupakan sebuah perkahwinan politik untuk menguatkan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara. Secara keseluruhanya, semasa pentadbiran Raja Ungu, terdapat banyak siri perperangan antara Patani dan juga Siam. Namun disebabkan kebijaksanaan baginda telah berjaya mematahkan serangan tersebut dengan bantuan daripada kerajaan-kerajaan Melayu lain. Menurut sarjana Barat Joost Schouten menyifatkan Raja Ungu merupakan seorang srikandi dan raja perempuan yang paling berani pada zaman tersebut. Hal ini dapat diperlihatkan bagaimana baginda begitu berani menentang kuasa besar di rantau ini demi melindungi negaranya.

 

4. Raja Kuning (1635 M-1686 M)

Selepas Raja Ungu mangkat, kemudian para pembesar telah menabalkan Raja Kuning sebagai Sultan bagi kerajaan Patani. Ketika tampuk pemerintahan Raja Kuning, baginda telah melakukan dasar berbaik-baik dengan kerajaan Siam. Tindakan Raja Kuning ini amat bertentangan dengan dasar yang dilakukan oleh almarhum bondanya. Raja Kuning telah menerima gelaran kebesaran Siam iaitu gelaran Phrao-Chao/ Phra Nang Chao-Yang atau lebih dikenali sebagai Raja Nang Cayang sebagai tanda berbaik semua dengan kerajaan Siam dan baginda juga bersetuju untuk menghantar ufti Bunga Mas dan Perak ke kerajaan Siam. Semasa tampuk pemerintahan Raja Kuning ini telah memperlihatkan kerajaan Patani semakin melemah ekoran tindakanya yang mengamalkan dasar berbaik semua dengan kerajaan Siam.

Selain itu juga, tekanan emosi juga turut mempengaruhi pemerintahan Raja Kuning ini. Raja kuning dikatakan tidak dapat memberi fokus dalam pentadbiranya ekoran terkesan dengan tindakan suaminya yang berlaku curang dengan seorang penari istana. Kehilangan fokus Raja Kuning ini telah menyebabkan sistem pertahanan Patani begitu lemah dan terdedah kepada ancaman musuh tradisi bangsa Melayu iaitu Siam. Bukti yang menyetakan struktur pertahanan Raja Kuning ini melemah ialah apabila berlakunya seorang pembesar istana iaitu Raja Kali bersama Tun Mir dan anak cucunya telah berjaya menceroboh masuk ke istana untuk melakukan rampasan kuasa. Raja Kali berjaya menguasai istana selama hanya 13 hari sahaja sebelum dijatuhkan oleh dayang-dayang istana dengan bantuan pembesar negeri seperti Bendahara Datok Tenteram, Datok Wang Ketakih dan pembesar yang lain. 

Selain itu juga, kerajaan Patani semakin melemah apabila berlakunya siri peperangan yang tidak berhenti daripada Siam. Pada sekitar tahun 1671-1679 kerajaan Patani telah terlibat dalam persengketaannya dengan Siam Singgora. Dalam usaha mendamaikan persengketaani ini, kerajaan Siam yang diketuai oleh Raja Siam Narai telah menghantar perwakilanya untuk menyelesaikan pertikaian tersebut. Walau bagaimanapun, usaha yang dilakukan oleh kerajaan Siam dibalas dengan siri serangan daripada kerajaan Melayu Patani. Hal ini telah menyebabkan Patani telah diserang oleh Siam secara besar-besaran. Keadaan ini telah menyebabkan Raja Kuning yang sudah semakin uzur itu terpaksa berundur untuk berselindungkan diri di Kota Jimbal. Pada ketika ini, akibat tekana demi tekanan yang diterima oleh Raja Kuning, baginda telah bertindak membuang seketul batu besar kedalam air sambal berkata ‘jikalau batu ini tidak timbul maka keturunanku tidak boleh memerintah lagi”. Secara logiknya sudah tentu batu yang dilemparkan itu akan tenggelam dan tidak akan timbul. Maka dengan ini tamatlah zuriat pemerintahan keturunan Raja Seri Wangsa pengasas yang mendidirkan Kerajaan Islam Patani.

ไม่มีความคิดเห็น:

แสดงความคิดเห็น

  SEJARAH DAN KERUNTUHAN  KERAJAAN PATANI DARUSSALAM  oleh :  Nurul Shafiqah Shafif 1.0 Pengenalan Kerajaan Patani merupakan antara kerajaan...