วันอังคารที่ 2 เมษายน พ.ศ. 2567

 SEJARAH DAN KERUNTUHAN 

KERAJAAN PATANI DARUSSALAM 

oleh : Nurul Shafiqah Shafif


1.0 Pengenalan

Kerajaan Patani merupakan antara kerajaan Melayu yang mempunyai kawasan yang luas dan besar serta merupakan sebuah kerajaan yang hebat dan kuat pada ketika itu. Kerajaan Patani sering dikaitkan dengan kerajaan Langkasuka. Hal ini kerana terdapat beberapa catatan yang menunjukan bahawa Patani ini merupakan sebuah kerajaan kesinambungan Langkasuka. Punca kerajaan Patani dikatakan jelmaan kerajaan Langkasuka adalah kerana kedudukanya yang berada di dalam kawasan kerajaan Langkasuka. Antara catatan yang mengatakan bahawa Patani ini merupakan kesinambungan Langkasuka ialah melalui sumber catatan China. Menurut sumber China yang ditulis oleh Mao Yuan Yi pada zaman Dinasti Ming mengatakan bahawa berdasarkan kedudukan geografi Peta Wu Pei-Chi, kedudukan kerajaan Langkasuka adalah sejajar dengan kerajaan Patani iaitu berada di sekitar utara pantai timur semenanjung. Hal ini kerana menurut beliau kedudukan tersebut adalah sejajar dengan perlabuhan Patani yang strategik serta terkenal di kalangan para pedagang Timur dan Eropah pada abad ke 16 dan 17. Berdasarkan penemuan sumber-sumber China yang lain juga turut menyatakan bahawa kedudukan Patani adalah berada dibawah Kerajaan Langkasuka.

Selain itu dalam sumber barat juga turut mengatakan perkara yang sama. Menurut catatan Suma Oriental karangan Tom Pires (1512-1515) nama Patani telah mula digunakan untuk merujuk kepada tempat yang sama dengan Langkasuka. Hal telah menyebabkan ramai para sejarahwan telah bersetuju mengatakan bahawa kerajaan Patani merupakan kesinambungan kerajaan Langkasuka. Walau bagaimana pun, terdapat juga ada sejarahwan yang tidak bersetuju dengan dakwaan. Hal ini kerana melalui sumber Hikayat Merong Mahawangsa telah mengatakan kedudukan kerajaan Patani adalah sebaliknya. Hikayat Merong Mahawangsa merupakan satu-satunya sumber yang mengatakan bahawa kedudukan Patani ini adalah terletak di semenanjung barat. Sumber ini telah menyebabkan berlakunya perdebatan dalam kalangan ahli sejarahwan mengenai kerajaan Patani dan Langkasuka. Secara keseluruhanya, berdasarkan hasil pembacaan dan penilaian, saya bersetuju bahawa kerajaan Patani merupakan kesinambungan kerajaan Langkasuka. Hal ini kerana terdapat banyak bukti yang menyatakan jelas bahawa kedudukan Patani tersebut terletak dalam kerajaan Langkasuka seperti bukti melalui catatan daripada China, Arab, Barat dan India.

 

2.0 Pembukaan Kerajaan Patani

Berdasarkan hikayat Patani, kerajaan Patani telah dibuka oleh Paya Tu Antara/Phya Tu Nakpa yang merupakan anak kepada seorang raja dari Kota Mahligai. Kedudukan Kota Mahligai terletak di kawasan perhutanan. Phya Tu Nakpa merupakan seorang yang suka pergi memburu binatang. Pada suatu hari baginda mendapat perkhabaran yang mengatakan bahawa di kawasan hutan berhampiran pantai mempunyai haiwan buruan yang banyak. Setelah mendengar perkhabaran ini, baginda terus berangkat pergi memburu. Ketika baginda sedang berburu bersama anjing-anjing perliharaanya, baginda telah menemui seekor pelanduk berwarna putih telah menarik perhatian baginda. Oleh itu, baginda telah mengejar palanduk berkenaan sehingga baginda memasuki sebuah perkampungan nelayan. Ketika baginda memasuki kampung nelayan tersebut, baginda telah menemui seorang pakcik tua bernama ‘Tani’ yang merupakan ketua kampung nelayan. Keperibadian yang tinggi pakcik tua yang bernama Tani telah menyebabkan tertarik untuk membuka sebuah kerajaan di situ. 

Tambahan pula menurut hikayat, pakcik tua ini juga mengaku bahawa beliau merupakan rakyat Kota Mahligai. Menurut pakcik Tani ini, ketika beliau sedang mengiringi paduka nendanya untuk berangkat ke Ayuthia, beliau dikatakan telah jatuh sakit dan tidak dapat meneruskan perjalananya. Oleh sebab itu, beliau mengambil keputusan untuk mendiami dan membuat perkampungan di situ. Oleh kerana pakcik Tani ini merupakan rakyat Kota Mahligai serta keadaan persekitaran perkampungan yang strategik telah menarik minat baginda untuk membuka sebuah kerajaan yang diberikan nama Patani sempena nama pakcik tua Tani berkenaan. Kedudukan yang strategik perkampungan tersebut yang terletak di persisiran pantai telah menyebabkan baginda tertarik untuk membuka negeri baru dengan tujuan dapat melaksanakan aktiviti perdagangan bagi memajukan Kota Mahligai yang terletak di dalam perhutanan. Dalam masa dua bulan, baginda telah mengarahkan rakyat jelatanya untuk membuka sebuah negeri baru. Maka bermula semenjak itu Paya Tu Antara/Phya Tu Nakpa telah memindahkan pusat kerajaannya ke sebuah perkampungan nelayan yang terletak di Kapong Gerisik. Pembukaan kerajaan baru yang dinamakan Patani ini telah berjaya berkembang maju dan menjadi sebuah negara yang terkuat sehingga telah menyebabkan kerajaan lain tertarik untuk menakhluki kerajaan Patani ini.

 

 

3.0 Zaman Pemerintahan Awal Raja Patani

3.1 Sultan Ismail Syah 1500-1530

Paya Tu Antara/Phya Tu Nakpa merupakan pengasas kepada kerajaan Melayu Patani. Setelah baginda memeluk agama Islam, baginda telah menukarkan namanya kepada Sultan Ismail Syah. Kemasukan ajaran Islam dalam kerajaan Patani dibawa oleh Syeikh Said Barsisa yang merupakan seorang ulama dari Pasai. Sebelum baginda memeluk agama Islam, baginda telah menderia dengan satu penyakit di dada sehingga baginda mendapat gelaran Raja Merkah Dada. Penyakit ini telah menyebabkan dada baginda mempunyai kesan pecah merkah di dada. Terdapat ramai tabib dan bomoh yang mencuba merawat baginda namun baginda gagal di sembuhkan. Oleh kerana itu, baginda telah bertitah barang sesiapa yang berjaya merawat baginda, maka baginda akan menuruti segala permintaanya. Setelah mendengarkan titah ini, datang seorang syeikh iaitu Syeikh Said Barsisa yang datang untuk mengubati baginda. Akhirnya baginda berjaya dirawat oleh Syeikh Said Barsisa sebanyak tiga kali sesi rawatan. Setelah baginda berjaya di sembuhkan Syeikh Said Barsisa telah meminta baginda untuk memeluk agama Islam serta baginda perlu mendidikan sebuah masjid yang diberi nama Masjid Kerisek. Daripada kejadian ini maka negeri Patani telah menjadi sebuah Kerajaan Melayu Islam pertama. Setelah terdirinya kerajaan Islam Patani, Sultan Ismail Syah telah mencuba berusaha mengukuhkan hubungan luar kerajaan. Bagi mengukuhkan hubungan luar, baginda telah mengantar perutusan ke Melaka semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah (1488-1511).

3.2 Sultan Mudzaffar Syah 1530-1564

Selepas kemangkatan Sultan Ismail Syah, putera sulung baginda telah ditabalkan untuk menaiki takhta sebagai sultan yang digelar sebagai Sultan Mudzaffar Syah bagi menggantikan ayahndanya. Semasa pemerintahan baginda kerajaan Patani telah menjadi semakin berkembang maju terutamanya aktiviti perlabuhan. Pelabuhan Patani telah berkembang maju sehingga menjadi pusat perdagangan terpenting di rantau ini. Selain itu, baginda juga turut menjalankan hubungan diplomatik dengan negara jiran bagi menguatkan lagi kedudukan kerajaan Patani.

Semasa pentadbiran baginda telah pergi ke negara Ayuthia untuk berjumpa dengan Raja Siam bagi membuat perhubungan diplomatik. Kepermergian baginda ke negara Ayuthia pada waktu yang agak lama, tampuk kepimpinan kerajaan Patani telah dipangku buat sementara oleh Raja Mansur yang merupakan adinda bongsu baginda. Ketika baginda berada di negara Siam, kesepakatan hubungan diplomatik antara Patani dan Siam telah tercapai. Hal ini dapat dilihat Raja Siam Maha Chakrapat (1548-1569) telah mengurniakan baginda Sultan Mudzaffar Syah hadiah seramai 60 orang tawanan Pegu, Burma dan 100 orang tawanan Lan Xang, Laos untuk dibawa pulang. Walau bagaimanapun kesepatakan hubungan diplomatik ini tidak berjalan dengan lancar pada akhirnya apabila Sultan Mudzaffar Syah bertindak mengkhianati Raja Siam dalam siri peperangan antara Siam dengan Burma.

Ketika berlakunya serangan Burma ke atas negara Siam, keadaan negara Siam kelihatan sangat lemah. Keadaan ini telah menyebabkan Sultan Mudzaffar Syah mengambil kesempatan untuk bertindak menyerang Siam. Tujuan baginda adalah untuk menakhluki kerajaan Siam bagi memperluaskan kawasan jajahan takhluknya. Tindakan baginda ini telah menyebabkan Siam berdendam dengan kerajaan Patani. Maka bermula sejak itu terjadilah dendam politik antara Siam dengan Patani. Dari sinilah bermulanya siri peperangan antara Siam dan Patani sehingga runtuhnya kerajaan Islam Patani.

Semasa ketiadaan Sultan Mudzaffar Syah, Raja Mansur yang pada ketika itu memangku jawatan sebagai sultan telah mendalami llmu agama Islam. Ketika pemerintahan baginda, datang seorang ulama yang dikenali sebagai Syeikh Safiuddin telah meningkatkan syiar Islam di Patani. Pada ketikai ini Raja Mansur telah menjadikan kerajaan Patani sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam. Terdapat banyak kawasan telah didirikan masjid dan dijadikan sebagai pusat pembelajaran dan penyebaran agama Islam. Selain tu juga, struktur kerajaan juga turut digubal mengikut ajaran agama Islam.

 

3.3 Sultan Mansur Syah 1564-1572

Setelah Sultan Mudzaffar Syah turun takhta, Sultan Mansur Syah telah ditabalkan menjadi sultan yang seterusnya. Baginda merupakan sultan yang memiliki anak yang ramai berbanding sultan Sultan Mudzaffar Syah yang hanya memiliki dua orang anak sahaja iaitu Sultan Patik Siam dan Raja Bambang. Sultan Mansur Syah memiliki dua orang putera dan empat orang puteri. Puteri sulung baginda bernama Raja Hijau, kedua Raja Biru, ketiga Raja Ungu yang kelima meninggal dunia ketika berusia 5 tahun (anaknya dengan Raja Emas Kerencang) dan puteranya bernama Raja Bima yang merupakan anak kepada gundik dan putera bongsu bernama Raja Bahadur.

Semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah, baginda telah mencuba untuk membaiki semula hubungan diplomatik antara Patani dengan Siam. Tindakan baginda adalah untuk melindungi kerajaan Patani. Hal demikian kerana, kerajaan Siam merupakan sebuah negara berkuasa besar dan selalu memberi ancaman kepada negara-negara di sekelilingnya. Sultan Mansur Syah telah menghantar Wan Muhammad yang merupakan anaknda Tok Raja Seri Faqih untuk pergi menghadap Raja Siam. Kemergian Wan Muhammad ke negara Ayuthia selama 20 hari telah berjaya memulihkan semula hubungan Patani dan Siam. Hal ini secara tidak langsung hubungan antara Patani dan Siam kembali harmoni semula.

Setelah Sultan Mansur Syah memerintah selama 8 tahun, baginda akhirnya sering jatuh sakit. Sebelum baginda mangkat, baginda sempat membuat wasiat untuk melantik Sultan Patik Siam sebagai Sultan Patani.

 

3.4 Sultan Patik Siam 1572-1573

Ketika Sultan Patik Siam diangkat menjadi Raja umur baginda pada ketika itu adalah berusia 9 tahun. Pada usia baginda yang terlalu muda tidak wajar dijadikan Sultan. Hal ini kerana keadaan baginda yang begitu kecil tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang luas untuk mentadbir. Di samping itu juga, umur baginda pada ketika itu tidak mencapai akhil baligh. Perlantikan Sultan Patik Siam ini telah menyebabkan kerjaan Patani mengalami ambang kejatuhan. Ketika dibawah pentadbiran Sultan Patik Siam terdapat tindakan rampasan kuasa yang dilakukan oleh Raja Bambang. Raja Bambang telah bertindak untuk merampas kuasa Sultan daripada Sultan Patik Siam yang pada ketika itu berada dibawah jagaan bonda saudaranya iaitu Raja Aisyah. Rampasan kuasa ini berlaku adalah disebabkan Raja Bambang telah dihasut oleh Seri Amarat yang merupakan seorang pegawai istana. Terdapat pakatan sulit yang dilakukan antara Seri Amarat dengan Raja Bambang bagi menjatuhkan Sultan Patik Siam. Pada akhirnya Raja Aisyah telah menyedari tindakan Raja Bambang dah telah bertindak menghalangi niat Raja Bambang. Dalam tujuan menghalangi Raja Bambang, Raja Aisyah dan Sultan Patik Siam telah dibunuh oleh Raja Bambang dengan begitu kejam sekali. Akibat ketakutan setelah menikam Raja Aisyah dan Sultan Patik Siam, Raja Bambang telah mencuba melairkan diri dari istana. Namun demikian, Seri Amarat yang merupakan dalang pengasutan ini telah membunuh Raja Bambang dengan membaling tombak kepada baginda. Ketiga-tiga kerabat diraja ini telah meninggal pada waktu yang sama dan dimakamkan di Kampung Datok Wang Kabudal. Keadaan ini telah menyebabkan struktur pentadbiran kerajaan Patani menjadi huru hara kerana ketiadaan sultan sebagai penaung.

 

3.5 Sultan Bahadur Syah 1573-1584

Setelah berlakunya tragedi perembutan kuasa dan pembunuhan maka Sultan Bahadur Syah telah dilantik untuk menjadi sultan Patani yang Baru. Perlantikan Sultan Bahadur Syah telah menyebabkan keadaan istana bertambah huru hara. Hal ini kerana, pada ketika perlantikan baginda sebagai sultan, baginda pada ketika itu baru sahaja berusia 10 tahun. Perlantikan sultan yang begitu muda telah menyebabkan kerajaan Patani tidak dapat melaksanakan urusan pentadbiran dengan lancar. Keadaan ini telah membuatkan Seri Amarat bertindak sekali lagi dengan menghasut Raja Bima. Tindakan Seri Amarat ini telah berjaya membuatkan Raja Bima termakan dengan kata-katanya. Raja Bima mula merasa tidak puas hati dan berdengki dengan Sultan Bahadur Syah yang menaiki tahkta. Raja Bima mula merasakan bahawa Sultan Bahadur Syah ini berlagak dengannya. Hal ini telah menyebabkan Raja Bima rasa sakit hati. Oleh disebabkan rasa sakit hati dan dengki ini telah mendorong Raja Bima membunuh Sultan Bahadur Syah. Perkara ini telah menyebabkan sekali lagi terjadinya peristiwa perebutan takhta dan siri pembunuhan dalam istana. Akibat ketakutan, Raja Bima telah mencuba melarikan diri dari istana dan akhirnya beliau telah di bunuh oleh Seri Amarat. Seri Amarat merupakan seorang yang licik, pandai bermain dengan kata-kata dan pandai berlakon sehingga membuatkan beliau terlepas daripada segala tuduhan. Hal ini secara tidak langsung segala keturunan lelaki Patani telah terhapus serta merta, yang tinggal hanyalah Raja Perempuan sahaja. Bermula daripada ini, Raja Perempuan telah mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Patani. Buat kali pertamanya Raja Perempuan menjadi pemerintahan dalam sebuah kerajaan Melayu.

 

 

 

4.0 Zaman Pemerintahan Raja Perempuan Patani

Berdasarkan undang-undang dan adat istiadat sistem pemerintahan beraja Melayu, apabila berlakunya kemangkatan seorang raja hendaklah digantikan dengan kerabat lelaki yang terdekat. Namun berbeza dengan kerajaan Patani. Perlantikan raja perempuan sebagai Sultan adalah disebabkan ketiadaan waris lelaki yang boleh diangkat menjadi Sultan. Hal ini kerana, waris yang tinggal adalah hanya waris perempuan. Walau bagaimanapun pemilihan seorang pengganti di dalam kalangan zuriat diraja adalah terpulang kepada keputusan para pembesar negeri.

Ketika dibawah pemerintahan raja perempuan, kerajaan Patani telah berjaya dipulihkan daripada terus merosot akibat berlakunya pembunuhan perebutan takhta. Pemerintahan raja perempuan ini dikatakan zaman kemuncak kegemilangan kerajaan Melayu Patani. Hal ini dapat dibukti apabila terdapat catatan Eropah yang mengatakan bahawa dibawah pemerintahan raja perempuan kerajaan Patani mengalami kemajuan yang luar biasa kerana adanya raja perempuan yang bijaksana dalam menjalankan pentadbiran. Ketika dibawah pemerintahan raja perempuan, negara Patani pada ketika itu muncul sebagai sebuah pusat perniagaan yang terpenting di rantau ini dan menjadi pusat pertumbuhan kebudayaan Melayu yang unggul di semenanjung. Berikut merupakan pemerintahan empat raja perempuan.

 

 

 

 

4.1 Raja Hijau 1584-1616

Raja Hijau merupakan anak perempuan sulung Sultan Mansur Syah yang dilantik menjadi raja perempuan pertama bagi kerajaan Melayu Patani. Baginda merupakan seorang raja perempuan yang paling bijak dalam menguruskan pentadbiran negara. Ketika dibawah pentadbiran Raja Hijau, baginda banyak menjalankan aktiviti hubungan diplomatik dengan negara asing. Antaranya seperti negara Jepun, Britain, Protusgis, Belanda dan lain-lain. Kedatangan negara barat disambut dengan amat baik sekali oleh Raja Hijau sehingga membuatkan negara barat berasa amat dihormati. Hubungan diplomatik yang dilakukan oleh Raja Hijau adalah untuk memajukan sektor perdaganggan Patani. Semasa dibawah pemerintahan Raja Hijau, sektor perdaganggan Patani berkembang dengan pesat sehingga telah menjadikan negara Patani sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa.

Semasa pemerintahan Raja Hijau, baginda telah melicinkan struktur pentadbiran negeri. Raja Hijau telah melantik Wan Jaharullah untuk menjadi Bentara Kiri dan Along In menjadi Bentara Kanan manakala Wan Muhammad pula dikurniakan gelaran Seri Raja Kelang. Di samping itu juga, Raja Hijau turut melantik seorang pengembara Inggeris iaitu John Smith untuk menjadi pensihat baginda dalam menguruskan hal pentadbiran negara. Tujuan Raja Hijau melantik John Smith adalah untuk memahami adat orang barat. Hal ini kerana, Raja Hijau telah menjalankan dasar hubungan diplomatik dengan negara barat.

Selain memberikan tumpuan terhadap hubungan diplomatik, baginda juga turut berikan perhatian terhadap kebajikan rakyatnya. Raja Hijau juga telah berusaha untuk membangunkan sosioekonomi rakyatnya dengan membina Terusan Tambangan dan empangan. Terusan dan empangan ini dibina bagi mengalirkan air kepada kawasan pertanian yang seterusnya turut menjadi bekalan air bersih kepada rakyatnya. Tindakan baginda ini seterusnya telah berjaya meningkatkan taraf sosioekonomi rakyatnya. Kemajuan yang di nikmati oleh Patani dibawah pemerintahan Raja Hijau telah menyebabkan kerajaan yang berada disekeliling Patani mencuba untuk menguasai Patani.

Antara negara yang mencuba untuk menguasai Patani adalah kerajaan Siam. Kerajaan Siam telah mencuba menyerang Patani pada tahun 1603. Cubaan serangan tersebut dipelopori oleh Raja Siam Naresuan. Walau bagaimanapun tindakan cubaan Raja Siam Naresuan untuk menyerang Patani adalah gagal. Hal ini kerana, Raja Hijau berjaya mematahkan serangan Siam dengan mendapatkan bantuan pedangan asing yang menggunakan senjata api. Siam mengalami kekalahan yang teruk selepas cubaan menyerang Patani. Setelah itu, Siam telah mencuba untuk berbaik semula dengan kerajaan Patani demi untuk membeli senjata api di kawasan pelabuhan Patani.

Pemerintahan Raja Hijau selama 32 tahun telah membawa kerajaan Melayu Patani kepada puncak kegemilangan sehingga nama baginda amat terkenal dalam kalangan negara eropah kerana kebijaksanaanya dalam mentadbir. Sepanjang hayat Raja Hijau, beliau tidak pernah berkahwin dan dikenali sebagai Marhum Tambangan. Setelah baginda mangkat pada usia 63 tahun, jawatan sultan telah diambil alih oleh Raja Biru yang merupakan adindanya yang juga merupakan anak kedua kepada Sultan Mansur Syah.

4.2 Raja Biru 1616-1624

Setelah kemangkatan Raja Hijau, Raja Biru telah ditabalkan menjadi sultan pada usianya yang ke 50 tahun. Semasa pemerintahan Raja Biru tidak terdapat banyak perubahan yang dilakukan oleh baginda. Hal ini kerana ketika baginda mengambil alih tampuk pemerintahan, keadaan negara pada ketika itu adalah dalam keadaan yang aman. Baginda hanya meneruskan sahaja segala dasar yang ditinggalkan oleh Raja Hijau. Semasa pemerintahan Raja Biru, baginda telah menjalankan hubungan diplomatic dengan kerajaan Kelantan. Ketika pemerintahan Raja Biru, terdapat berlakunya sikap permusuhan di antara saudagar-saudagar Eropah. Permusuhan ini berlaku adalah disebabkan Belanda yang ingin memonoppli perdagangan di seluruh Asia Timur. Belanda telah bertindak menyekat dan merosakkan urusan perniagaan bangsa-bangsa lain terutamanya orang Inggeris. Tindakan belanda yang rakus ini telah mengakibatkan wujudnya permusuhan dan berlakunya pertempuran antara Belanda dan Inggeris di kawasan bandar Patani. Hal ini telah menyebabkan berlakunya huru hara dalam Kerajaan Patani. Pada akhirnya Raja Biru telah bertindak masuk campur dalam pertempuran ini dengan memerintahkan para pegawainya memberikan perlindungan dan kawalan kepada orang-orang Inggeris dari dianiayai oleh Belanda.

Selain itu, terdapat juga masalah lain yang berlaku dalam pentadbiran Raja Biru terutamanya dari segi perdagangan. Ketika pemerintahan Raja Biru, terdapat para pedagang Eropah mula meninggalkan pelabuhan Patani dan menutup gudang-gudang mereka. Hal ini berlaku adalah kerana aktiviti perdagangan rempah telah kurang mendapat pasaran. Oleh hal yang demikian sehingga tahun 1623 tiada lagi saudagar daripada Eropah yang datang berdagang ke Patani. Hal ini secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya sedikit kemerosotan aktitviti perdangan Patani.

 

4.3 Raja Ungu 1624-1635

Setelah kemangkatan Raja Biru, Raja Ungu telah ditabalkan menjadi sultan yang seterusnya. Raja Ungu merupakan bekas seorang permaisuri Sultan Abdul Ghafur Pahang. Dalam sistem pemeritahanya, baginda mengamalkan dasar polisi anti Siam. Dasar anti Siam ini dibuktikan melalui tindakan baginda dengan memutuskan hubungan diplomatik dengah kerajaan Ayuthia. Selain itu juga, Raja Ungu turut menolak gelaran kebesaran Siam iaitu gelaran Phrao-Chao/ Phra Nang Chao-Yang atau lebih dikenali sebagai Raja Nang Cayang yang diberikan oleh Siam kepada baginda. Baginda kemudianya mengelarkan diri Raja Patani Paduka Syah Alam. Di samping itu, baginda juga turut mengutuk Raja Siam sebagai penjahat, pembunuh dan juga pengkhianat. Baginda juga kemudian bertindak memutuskan tali pertunangan anakandanya Raja Kuning dengan Okaphya Deca. Tindakan baginda yang memusuhi Siam ini telah menyebabkan berlakunya siri perperangan yang besar antara Patani dengan Siam.

Semasa pemerintahan Raja Ungu, baginda telah melakukan banyak hubungan diplomatik dengan kerajaan Melayu yang lain. Oleh kerana baginda telah lama menetap di negara Pahang sebelum kembali pulang ke Patani telah membolehkan baginda mendekatkan Patani dengan kerajaan Melayu yang lain. Tujuan yang dilakukan oleh Raja Ungu ini adalah untuk melindungi kerajaan Patani daripada di serang musuh serta ingin memperkuatkan kedudukan negara Patani. Raja Ungu merupakan seorang raja yang bijak sama seperti dengan kekandanya Raja Hijau. Hal ini dapat dilihat apabila Raja Ungu telah bertindak mengambil kesempatan terhadap peperangan yang berlaku antara Aceh dengan Melaka. Baginda telah mengambil kesempatan ini dengan membuat perikatan dengan Johor dan Melaka bagi membendung ancaman Aceh. Selain itu juga, bagi memperkukuhkan hubungan dengan Johor, pada tahun 1632 Raja Ungu Patani telah mencadangkan pertubuhan pakatan pertahanan antara kerajaan Patani-Johor-Belanda-Kemboja-Jambi dan Inderagiri bagi menentang kuasa Portugis-Sepanyol yang semakin mengancam rantau ini. Namun demikian, pakatan ini tidak dapat berjalan dengan lancar. Walau bagaimanapun ketika kerajaan Siam menyerang Patani pada 12 Mei 1634 kerajaan Johor dan Pahang telah menghantar bantuan ketenteraan sebanyak 50 buah kapal perang dan 8000 orang tentera, manakala Portugis Melaka pula turut menghantar 6 buah kapal perang kepada Patani. Hal ini secara tidak langsung kerajaan Patani dapat mengalahkan serangan daripada kerajaan Siam.

Bagi mengeratkan hubungan antara Johor dan Patani, Raja Ungu telah mengahwinkan anakandanya iaitu Raja Kuning dengan Yang Dipertuan Muda Johor. Perkahwinan ini merupakan sebuah perkahwinan politik untuk menguatkan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara. Secara keseluruhanya, semasa pentadbiran Raja Ungu, terdapat banyak siri perperangan antara Patani dan juga Siam. Namun disebabkan kebijaksanaan baginda telah berjaya mematahkan serangan tersebut dengan bantuan daripada kerajaan-kerajaan Melayu lain. Menurut sarjana Barat Joost Schouten menyifatkan Raja Ungu merupakan seorang srikandi dan raja perempuan yang paling berani pada zaman tersebut. Hal ini dapat diperlihatkan bagaimana baginda begitu berani menentang kuasa besar di rantau ini demi melindungi negaranya.

 

4.4 Raja Kuning 1635-1686

Selepas Raja Ungu mangkat, kemudian para pembesar telah menabalkan Raja Kuning sebagai Sultan bagi kerajaan Patani. Ketika tampuk pemerintahan Raja Kuning, baginda telah melakukan dasar berbaik-baik dengan kerajaan Siam. Tindakan Raja Kuning ini amat bertentangan dengan dasar yang dilakukan oleh almarhum bondanya. Raja Kuning telah menerima gelaran kebesaran Siam iaitu gelaran Phrao-Chao/ Phra Nang Chao-Yang atau lebih dikenali sebagai Raja Nang Cayang sebagai tanda berbaik semua dengan kerajaan Siam dan baginda juga bersetuju untuk menghantar ufti Bunga Mas dan Perak ke kerajaan Siam. Semasa tampuk pemerintahan Raja Kuning ini telah memperlihatkan kerajaan Patani semakin melemah ekoran tindakanya yang mengamalkan dasar berbaik semua dengan kerajaan Siam.

Selain itu juga, tekanan emosi juga turut mempengaruhi pemerintahan Raja Kuning ini. Raja kuning dikatakan tidak dapat memberi fokus dalam pentadbiranya ekoran terkesan dengan tindakan suaminya yang berlaku curang dengan seorang penari istana. Kehilangan fokus Raja Kuning ini telah menyebabkan sistem pertahanan Patani begitu lemah dan terdedah kepada ancaman musuh tradisi bangsa Melayu iaitu Siam. Bukti yang menyetakan struktur pertahanan Raja Kuning ini melemah ialah apabila berlakunya seorang pembesar istana iaitu Raja Kali bersama Tun Mir dan anak cucunya telah berjaya menceroboh masuk ke istana untuk melakukan rampasan kuasa. Raja Kali berjaya menguasai istana selama hanya 13 hari sahaja sebelum dijatuhkan oleh dayang-dayang istana dengan bantuan pembesar negeri seperti Bendahara Datok Tenteram, Datok Wang Ketakih dan pembesar yang lain. 

Selain itu juga, kerajaan Patani semakin melemah apabila berlakunya siri peperangan yang tidak berhenti daripada Siam. Pada sekitar tahun 1671-1679 kerajaan Patani telah terlibat dalam persengketaannya dengan Siam Singgora. Dalam usaha mendamaikan persengketaani ini, kerajaan Siam yang diketuai oleh Raja Siam Narai telah menghantar perwakilanya untuk menyelesaikan pertikaian tersebut. Walau bagaimanapun, usaha yang dilakukan oleh kerajaan Siam dibalas dengan siri serangan daripada kerajaan Melayu Patani. Hal ini telah menyebabkan Patani telah diserang oleh Siam secara besar-besaran. Keadaan ini telah menyebabkan Raja Kuning yang sudah semakin uzur itu terpaksa berundur untuk berselindungkan diri di Kota Jimbal. Pada ketika ini, akibat tekana demi tekanan yang diterima oleh Raja Kuning, baginda telah bertindak membuang seketul batu besar kedalam air sambal berkata ‘jikalau batu ini tidak timbul maka keturunanku tidak boleh memerintah lagi”. Secara logiknya sudah tentu batu yang dilemparkan itu akan tenggelam dan tidak akan timbul. Maka dengan ini tamatlah zuriat pemerintahan keturunan Raja Seri Wangsa pengasas yang mendidirkan Kerajaan Islam Patani.

 

5.0 Zaman Pemerintahan Raja Kelantan

5.1 Raja Bakal 1688-1690

Setelah berakhirnya pemerintahan keturunan Raja Seri Wangsa pengasas yang mendidirkan Kerajaan Islam Patani, kerajaan Patani tidak lagi mempunyai sultan yang boleh memerintah kerajaan tersebut. Maka dengan itu hal ini telah menyebabkan para pembesar negeri Patani membuat rundingan siapakah yang layak untuk dijadikan raja Patani bagi mengangtikan Raja Kuning. Walau bagaimanapun akhirnya terdapat seorang anak raja layak untuk dijadikan sultan bagi kerajaan Patani iaitu seorang anak raja Kelantan yang bernama Raja Bakal. Maka bermula susur jalur pemerintahan kerajaan Patani daripada keturunan Kelantan. Raja Bakal hanya sempat memerintah selama dua tahun sahaja.  Hal ini kerana ketika baginda ditabalkan umur baginda sudah menjagkau usia yang amat tua. Namun begitu setelah kemangkatan baginda, tampuk pemerintahan Patani telah diambil alih oleh Raja Mas Kelantan (1690-1707), Raja Mas Jayam (1707-1710), Raja Dewi (1710-1719), Raja Bendang Badan (1719-1723), Raja Laksamana Dajang (1723-1724) dan  Along Yunus (1726-1729).

 

 

5.2 Sultan Muhamad 1776-1786

Semasa dibawah pemerintahan Sultan Muhammad, kerajaan Patani terah berada diambang kejatuhan apabila General Cakri atau Rama 1 iaitu merupakan pengasas Dinasti Bangkok terlah berkuasa menjadi pemerintah Siam yang baru. Dibawah pemerintahan Siam yang baru ini, kuasa Siam dibawah Rama 1 ini semakin gagah dan kuat telah memulakan melaksanakan dasar penjajahannya di sebelah utara seperti Laos di Luang Prabang dan Vientien. Tindakan dasar baru Siam dibawah Rama 1 ini telah memberikan ancaman kepada negeri-negeri Melayu yang berkerajaan Islam di semenanjung. Dalam pada ketika era pemerintahan Sultan Muhammad kerajaan Patani telah mula menerima pengaruh daripada Siam.

 

5.2.1 Patani Dibawah Kuasa Jajahan Siam

Bermula pada akhir abad ke 18 kuasa Siam yang baru telah memberikan ancaman ketenteraan dari arah ke selatan. Pada ketika itu terdapat dua buah kerajaan Melayu Islam iaitu Patani dan Kedah telah berada dalam ancaman Siam. Hal ini kerana, kerajaan Siam telah mendakwa bahawa dua buah kerajaan ini telah berada dibawah naungan Siam semenjak zaman Sukhotai lagi. Pada tahun 1786 telah berlaku siri peperangan antara Siam dengan Patani semasa dibawah pemerintahan Sultan Muhammad. Pada ketika ini kerajaan Patani mengalami kekalahan yang teruk. Kerajaan Siam berjaya menakhluki sepenuhnya kerajaan Patani. Hal ini telah menyebabkan kerajaan Patani telah menjadi kawasan jajahan Siam. Kemenangan besar bagi pihak Siam adalah disebabkan terdapatnya pembelotan dan pengkhinat dari seorang pegawai istana. Si pengkhianat ini merupakan seorang pegawai istana Patani yang bernama Nai Can Thong. Nai Can Thong merupakan seorang yang berketurunan Siam Lingor telah mendapatkan kepercayaan Sultan Muhammad pada akhirnya telah membelot dengan memberikan kebocoran sistem pertahanan Patani kepada Siam. Hal ini telah menyebabkan Siam berjaya menakhluki Patani sepenuh dengan mudah semasa dibawah pemerintahan Sultan Mahammad. Oleh itu dengan ini secara tidak lansung telah menyebabkan kerajaan Islam Melayu Patani telah jatuh ke tangan Siam yang selama ini telah mencuba untuk menawan kerajaan Patani. Pada ketika ini, kerajaan Siam telah mendapat kemenagan yang besar iaitu berjaya memiliki kerajaan Patani.

 

5.2.2 Negeri Patani Terbahagi Tujuh

Setelah kerajaan Siam menguasai kerajaan Patani, negara Patani telah dipecahkan kepada tujuh bahagian yang kecil. Tindakan Siam memecahkan Patani kepada tujuh bahagian adalah disebabkan terdapatnya penentangan dan pemberontakan daripada orang Melayu Patani terhadap penguasaan kerajaan Siam keatas Patani. Hal ini telah menyebabkan Gabenor Patani Nai Phya bersama Gabenor Singora berasa bimbang. Oleh kerana bimbang, kedua-dua gabenor ini telah bertindak membuat laporan kepada Raja Rama II. Laporan yang dibuat dipandang serius oleh Raja Rama II. Bagi membendung penentangan dan pemberontakan daripada orang Melayu Patani ini akhirnya wujud dasar pecah perintah. Dasar ini diwujudkan untuk melemahkan orang Melayu Patani. Oleh sebab itu akhirnya Kerajaan Patani telah dipecahkan kepada tujuh bahagian iaitu Patani, Nong Cik. Reman, Jalor, Teluban, Lengeh dan Jering. Setiap pecahan bagian tersebut mempunyai seorang raja yang memerintah. Bagahian Patani diperintah oleh Tuan Sulong, manakala Nong Cik diperintah oleh Tuan Nik, Reman pula diperintah oleh Tuan Mansur, Jalor di perintah oleh Tuan Jalor, Teluban pula diperintah oleh Nik Diah, Legeh diperintah oleh Nik Dah dah akhir sekali Jering diperintah oleh Nai Phya yang merupakan keturunan Siam. Mulai tahun 1816 ketujuh-tujuh negeri Patani ini mengalami perkembangan politik dan ekonominya yang tersendiri. Dengan terpecahnya Patani kepada tujuh bahagian maka berakhirlah kerajaan Melayu Patani.

 

 

 

 

 

 

 

6.0 Rumusan

Kerajaan Patani merupakan sebuah Kerajaan Melayu yang mashsyur sebelum kedatangan kuasa penjajah. Kebijaksanaan pemerintahnya telah menjadikan pelabuhan Patani sebagai tempat pusat perdagangan yang terpenting di semenanjung. Seterusnya Patani juga turut menjadi pusat penyebaran agama Islam di kawasan kejiranan negara Patani. Patani juga turut menjadi pusat kebudayaan Melayu. Hal ini dapat dilihat pada adat yang ada di setiap negeri Melayu mempunyai adat yang sama dengan Patani. Walau bagaimanapun kekuasaan patani tidak bertahan lama. Setiap zaman kegemilangan sesebuah negara pasti akan ada zaman kejatuhan. Hubungan diplomatik dengan negara jiran berjalan dengan baik pada awalnya. Jika dilihat dan ditelusuri sejarah Patani ini, kejatuhan negaranya adalah disebabkan berlakunya siri peperangan dendam politik antara Patani dan Siam. Siam merupakan sebuah kuasa besar ada ketika itu. Hal ini kerana pada ketika itu Siam begitu amat agresif meluaskan empayarnya dengan menyerang negeri yang berada disekitarnya. Meskipun Siam begitu agresif menyerang seluruh negeri yang berada di sekitar negerinya, namun Siam amat sukar untuk menakhluki kerajaan Patani. Terdapat banyak siri peperangan yang cuba dilakukan oleh Siam untuk mendapat Patani bermula dari awal zaman kegemilangan Patani. Kegagalan Siam untuk menakhluki Patani adalah disebabkan benteng pertahanan Patani amat kukuh untuk ditembusi oleh Siam. Tambahan pula, Patani juga pada ketika itu amat bergiat aktif membuat hubungan diplomatik dengan negara asing seperti negara barat yang pada ketika itu telah pun maju menggunakan kaedah peperangan senjata api. Hal ini telah membuatkan kerjaan Siam tidak mampu untuk menakhluki kerajaan Patani. Namun demikian, ketidakputusan asa kerajaan Siam dalam menakhluki kerajaan Patani akhirnya Siam berjaya menakhluki Patani apabila kerajaan Patani pada ketika itu berada diambang huru hara akibat berlakunya perebutan kuasa. Setelah Siam berjaya menjadikan Patani sebagai kawasan jajahan takhluknya, Patani telah di pecahkan kepada tujuh bahagian. Pepercahan ini adalah untuk melemahkan orang Melayu Patani daripada bertindak menentang kerajaan Siam. Meskipun Siam telah menakhluki Patani, namun orang Melayu Patani masih lagi bertindak menentang kerajaan Siam. Sehingga kini jika dilihat terdapat lagi orang Melayu Patani yang mencuba menentang kerajaan Patani. Siri sejarah Patani ini merupakan satu penceritaan yang panjang. Hal ini kerana, kisah penentangan orang Melayu Patani sehingga kini masih lagi berlangsung.

 

 


BIBLOGRAFI

Abdullah Zakaria Ghazali. 2016. Naskhah Melayu Patani Mengupas Sejarah dan Kedaulatan
  Kerajaan Melayu di Selatan Thailand. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.

Halim Bashah. 2018. Sejarah Raja Champa Dinasti Jembal Dalam Patani Besar. Kuantan
  Pahang. Geroda Merah Press.

Ibrahim Syukri. 1985. History of the Malay Kingdom of Patani. Thailand.

Mohd Zamberi A.Malek. 2017. Biografi Tengku Abdul Kadir Kamaruddeen Raja Patani Terakhir.
  Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Zamberi A.Malek. 2011. Langkasuka Negara Melayu Pertama. Anjung Media Resource.
  Kuala Lumpur.

Mohd Zamberi A.Malek. 1994. Patani Dalam Tamadun Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.
  Kuala Lumpur.

Mohd Zamberi A.Malek. 2006. Pensejarahan Patani. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.

Mohd Zamberi A.Malek. 1993. Umat Islam Patani Sejarah dan Politik. HIZBI. Shah Alam.

Nik Anuar Nik Mahmud. 1999. Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954. Universiti
  Kebangsaan Malaysia.

Wan Yunil Amri bin Wan Yunil Khairi. 2017. Jatuhnya Kerajaan Patani dan Dampak Perubahan
  Pada Kehidupan Masyarakat Melayu Patani. Tesis Ijazah Sarjana Muda. Universiti Islam
  Negeri Ar-Raniry Darussalam Bandar Acheh.

 

ไม่มีความคิดเห็น:

แสดงความคิดเห็น

  SEJARAH DAN KERUNTUHAN  KERAJAAN PATANI DARUSSALAM  oleh :  Nurul Shafiqah Shafif 1.0 Pengenalan Kerajaan Patani merupakan antara kerajaan...